Friday, 23 September 2016

Salah Faham Tentang Kekayaan

Antara sebab kenapa Melayu Muslim susah kaya; kita ada satu konflik besar dalam pemikiran tentang kekayaan. Orang kita ada masalah “kaya segan, miskin tak mahu”. Itu “mind block” yang menyebabkan kita rasa teragak-agak untuk kaya. Nak kaya, tapi rasa was-was antara kaya atau miskin, yang mana lebih baik? Bila cari kekayaan, kita rasa kita kejar dunia dan lupa akhirat. Tapi kalau kerja, kita nak gaji lebih besar. Kalau bonus, kita nak bonus lebih banyak.

Lagi konflik bila kita dengar cerita dari ustaz-ustaz katanya, Rasulullah s.a.w itu miskin, hingga Rasulullah s.a.w terpaksa ikut perut dengan batu kerana lapar. Bukan setakat Rasulullah, para sahabat pun turut sama miskin bila kita dengar cerita Saidina Umar pun turut sama ikat perut mengadu lapar kepada Rasulullah s.a.w. 

Salah Faham Tentang Kekayaan

Lama juga saya mengkaji tentang konflik ni. Saya cari buku-buku tentang Rasulullah s.a.w. berniaga waktu mudanya. Dari pembacaan, saya rasa ada yang tak kena dengan kefahaman masyarakat kita tentang kekayaan maka saya boleh buat kesimpulan, kefahaman kita terhadap Rasulullah s.a.w dan para sahabat tentang kekayaan adalah salah. Baginda bukan sebagaimana yang kita fikir. Agama tak pernah suruh kita jadi miskin. Kemiskinan bukan sesuatu yang digalakkan oleh agama, bahkan agama menggalakkan kita jadi kaya!

Rasulullah s.a.w Seorang Jutawan

Baginda telahpun capai status “financialy free” (bebas kewangan). Maksudnya, kekayaan baginda cukup untuk hidup sepanjang hayat tanpa perlu bekerja lagi.

Rasulullah Berniaga Diusia Muda

Rasulullah memulakan bisnesnya sendiri pada usia 18 tahun. Dan berpartner dengan Khadijah a.s. sebagai pemodalnya yang berusia 33 tahun waktu itu. Sebelum berpartner dengan Khadijah a.s, baginda bermentor dengan pakciknya Abu Talib selama 6 tahun. Ketika umurnya 25 (gen Y), baginda telahpun menjadi seorang jutawan, iaitu hanya lepas 7 tahun berniaga dan berpartner dengan Khadijah a.s.

Baginda berdagang, bukan pengeluar. Baginda jadi pengedar, bukan mengeluarkan produk sendiri. Baginda tak ada produk sendiri, dan baginda tak ada kedai sendiri. Antara barang dagangan Baginda ialah kain dari Yaman, iaitu komoditi paling hot waktu itu.


Harta Habis Kerana Dakwah

Lepas kerasulan, baginda hidup bersederhana. Harta baginda dan isterinya dihabiskan ke jalan dakwah hinggakan Khadijah a.s diriwayatkan pernah berkata “Ambillah tulang belulangku, ambillah tulang belulangku. Aku sudah tidak ada apa lagi ya Rasulullah. Hanya yang ada tulang belulang ini. Ambillah ia setelah aku wafat. Jadikan ia jambatan untuk sahabatmu pergi berjihad”. Maksudnya, Nabi s.a.w dan isterinya yang kaya raya jadi ‘papa kedana’ kerana dakwah dan perjuangan, bukan kerana malas berusaha! Jadi kalau nak ikut Nabi, kita kena kaya dan papa kedana kerana perjuangan juga! Jangan sesekali samakan kemiskinan kita dengan Nabi. Ia jauh sama sekali dengan orang yang hidup papa kedana kerana tak ada wawasan dalam hidup! kisah-kisah Rasulullah dan para sahabat yang hidup susah hanya berlaku hanya ketika awal-awal hijrah sahaja. Abdul Rahman bin Auf yang kaya raya di Mekah terpaksa papa kedana kerana agama ketika berhijrah.

Dunia Dalam Genggaman Para Sahabat

Lepas tahun ke-6 hijrah, barulah banyak hadis-hadis Nabi tentang “berhati-hati dengan dunia” sebab “kekayan dunia” mula berada dalam gengaman para sahabat. Ketika zaman susah, Nabi ingatkan tentang fadhilat faqir. Bila dah senang, Nabi ingatkan berhati-hati dengan dunia. kesilapan kita ialah kita ingatkan “berhati-hati dengan dunia” kepada orang ‘miskin’ tak ada harta! Seolah-olah seluruh hidup Nabi dan para sahabat dalam keadaan kemiskinan. Dan ini boleh melemahkan motivasi ummat Islam untuk jadi kaya.

Dan satu fakta yang kita selalu lupa, walaupun baginda hidup bersederhana selepas kerasulan, baginda dikelilingi oleh para sahabat yang kaya raya. Kalau tak, masakan 17 peperangan yang Rasulullah sertai, kosnya hanya dibiayaai oleh ‘duit’ para sahabat! Dalam sejarah manusia, kos terbesar bagi sesebuah kerajaan ialah kos peperangan! Kalau kita baca sirah Nabi s.a.w, tahun ke-9 hijrah, Abdul Rahman bin Auf menginfaqkan 1,500 ekor unta dan 500 ekor kuda untuk Perang Tabuk. Usman r.a. menginfaqkan 500 ekor unta untuk Perang Tabuk, bahkan dalam hidup Usman r.a. pernah dua (2) kali bergolok-gadai hartanya kerana agama! Itulah kekayaan bagi sahabat Baginda. Kaya Dunia, Kaya Akhirat

Kalau nak dianggarkan, kedua-dua sahabat baginda ini sahaja kita dah boleh anggarkan, mereka ialah MULTI-MILLIONNAIRE. Mereka bukan setakat kaya, ahli Syurga pulak tu! Oh, betapa jauh bezanya kita dengan para sahabat. Kita kononnya meninggalkan kekayaan atas nama agama sedangkan sahabat Nabi “menggengam dunia” kerana agama. Jadi dalam konteks membina kekayaan, pertama sekali mesti ada dalam kepala kita “kaya itu mulia”. Jadikan Rasulullah s.a.w dan para sahabat sebagai idola dan motivasi untuk kita jadi kaya. Dan kita kena tahu, ke mana nak dibawa kekayaan kita itu, barulah kita yakin untuk usahakan kekayaan. Bagi yang berniaga, bongkarlah rahsia usahawan Muslim tersohor di zaman Nabi, iaitu Abdul Rahman bin Auf. Beliau bukan sahaja MULTI-MILLIONNAIRE, tapi beliau juga ialah AHLI SYURGA!

Kesimpulan
Apa yang boleh saya simpulkan;
#1 – Untuk jadi kaya, mesti ada dalam kepala kita fikiran “kaya itu mulia”. Perbetulkan mindset dulu, barulah senang kita mencari kekayaan dengan bersungguh.
#2 – Carilah dunia sebanyak mungkin, tapi kita mesti tahu ke mana nak di bawa kekayaan itu. Ia tak lain tak bukan, kekayaan yang kita cari demi sempurnakan tanggungjawab yang Allah beri, bukan untuk bermewah-mewah yang bersifat sementara.
#3 – Salah satu cara memastikan dunia tak melalaikan kita ialah disiplinkan diri dengan bersedekah. Setiap harta yang Allah beri, tetapkan portionnya untuk bersedekah. Bersedekahlah dari sekarang walaupun sedikit. Jangan tunggu kaya baru nak besedekah.
Mudah-mudahan coretan ini memberi kefahaman kepada kita, “kaya itu mulia”…
Wallahu a’lam.